KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 14 kes berkaitan cuaca panas yang diterima di seluruh negara sehingga semalam.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Suani berkata, kes dijangka meningkat berikutan negara dilanda cuaca panas melampau sehingga Ogos depan.
Bagaimanapun katanya, keadaan dilihat masih terkawal dan fasiliti di bawah KKM bersiap siaga menerima sebarang kes berkaitan cuaca panas.
“Setakat ini terdapat enam kes di Kelantan, Sarawak (5) dan Sabah (3) dicatatkan sehingga semalam dengan paling ramai membabitkan golongan dewasa iaitu tujuh kes.
“Enam kes membabitkan kejang haba dan masing-masing empat kes berkaitan strok haba serta kelesuan haba di mana semua mangsa sudah pulih kecuali satu kes di Kelantan yang meninggal dunia membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Intermediate Electrocardiogram Conference’ anjuran Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, hari ini.
Lukanisman berkata, KKM juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkaitan terutama Kementerian Pendidikan dalam usaha memastikan murid dan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya lagi, ibu bapa juga tidak perlu terlalu bimbang namun dalam masa sama langkah berjaga-jaga harus dititikberatkan terutama pengambilan air dan memastikan anak yang bersukan tidak melakukan riadah secara berlebihan.
“Orang ramai boleh sentiasa merujuk maklumat dikeluarkan KKM berkenaan strok haba dan pastikan banyak berada dalam bangunan, tempat redup dan pengambilan air adalah sangat penting ketika keadaan cuaca yang sangat panas sebegini,” katanya.
Selain itu, Lukanisman berkata, KKM turut mengenal pasti lokasi yang mungkin mempunyai suhu tinggi di seluruh negara dan akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) supaya persiapan dapat dibuat dari segi fasiliti di hospital.
Menurutnya lagi, Semenanjung Malaysia mempunyai banyak kawasan yang mengalami kadar suhu tinggi terutama di bandar besar yang mempunyai kepadatan kenderaan dan keadaan yang sama juga berlaku di Sarawak.
“Ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kadar haba dan kita akan cuba kemas kini data serta masukkan maklumat berkaitan ke laman rasmi dan media sosial KKM,” katanya.
Sumber: METRO