KL City Cipta Sejarah ke Final Piala AFC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City terus mencipta sejarah di Piala AFC apabila mara ke final selepas menewaskan kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana 5-3 menerusi penentuan penalti pada aksi final antara zon di Stadium Kompleks Sukan Sogdiana, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak kini selangkah untuk menyamai rekod Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi Piala AFC pada 2015.

Pada perlawanan itu, Sogdiana lebih banyak melakukan percubaan ke arah pintu gol KL City, namun mereka dikecewakan dengan aksi berdisiplin pertahanan City Boys dan ketangkasan penjaga gawang, Kevin Mendoza.

Peluang terbaik KL City untuk mendapatkan jaringan hadir pada minit ke-80, namun Romel Morales gagal menyudahkan hantaran lintang Zhafri Yahya di depan pintu gol Sogdiana.

Kebuntuan jaringan kedua-dua pasukan berterusan hingga tamat masa tambahan yang menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan dengan penentuan penalti.

Kecemerlangan Mendoza berterusan apabila dia berjaya menyelamatkan sepakan Shokhruz Jurabekov sebelum Giancarlo Galifuoco menyempurnakan sepakan terakhir KL City untuk membawa skuad City Boys ke pentas akhir.

KL City akan berdepan kelab Oman, Al-Seeb yang turut mencipta sejarah muncul pasukan pertama dari negara itu mara ke final Piala AFC.

Al-Seeb terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final apabila menewaskan wakil Bahrain, Al-Riffa 4-0 di final Zon Barat, semalam.

Sumber : BERITA HARIAN