PUTRAJAYA: Klinik-klinik kesihatan di seluruh negara disaran beroperasi secara lebih masa dalam usaha mengelak kesesakan di hospital.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau mencadangkan agar Pengarah Kesihatan Negeri supaya meneliti semula keperluan klinik kesihatan di bawah selian masing-masing untuk beroperasi lebih masa.
Beliau berkata, langkah itu boleh mengalihkan pelanggan atau pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik tersebut dan bukan lagi di Jabatan Kecemasan Hospital (ED).
“Secara umumnya, pesakit berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat menyelesaikan isu kesesakan dan tempoh menunggu lama untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik KKM.
“Isu kesesakan ini dikesan berlaku di kawasan bandar berikutan jumlah populasi yang semakin meningkat, serta kecenderungan pelanggan mendapatkan perkhidmatan di hospital dan klinik KKM,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu KKM 2023 di sini hari ini.
Katanya, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019, menjelaskan tempoh menunggu di Jabatan Kecemasan Hospital melebihi daripada enam jam.
Malah, katanya, keadaan tersebut berlaku disebabkan 70 peratus kes yang diterima adalah kes bukan kritikal dan ia sekali gus bertentangan dengan fungsi sebenar Jabatan Kecemasan Hospital yang sepatutnya hanya menerima kes-kes kritikal.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, Pengarah Hospital pula hendaklah memastikan pembukaan perkhidmatan baharu segera dilaksanakan sebaik sahaja jawatan atau sumber manusia diluluskan.
Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan di hospital menjadi lebih efektif, Dr. Zaliha berkata, Pengarah Kesihatan Negeri disarankan untuk membuat penjajaran perjawatan dan sumber manusia.
“Ia boleh dilakukan dengan pusingan kerja, contohnya dengan menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital.
“Langkah ini dapat mengurangkan isu tempoh bekerja yang terlalu lama bagi satu-satu masa untuk seseorang pegawai dan secara tidak langsung dapat mengelakkan atau mengurangkan kejadian burn-out,” katanya.
Sumber: UTUSAN