Klopp Lega Lepasi Halangan Januari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Jurgen Klopp berkata dia lega melepasi Januari dengan Liverpool masih berpeluang merebut gelaran Liga Perdana selepas kemenangan 3-1 mengatasi Crystal Palace malam tadi.

Skuad kendalian Klopp menyinar di sebalik kehilangan Mohamed Salah dan Sadio Mane yang beraksi pada Piala Negara-Negara Afrika apabila mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Virgil van Dijk dan Alex Oxlade-Chamberlain.

Bagaimanapun mereka memerlukan aksi daripada penjaga gol Alisson Becker untuk berada di prestasi terbaik selain penalti kontroversi yang disempurnakan Fabinho, bagi memastikan kemenangan dan mengurangkan jurang dengan Manchester City kepada sembilan mata.

“Jelas Januari ialah tempoh penuh muslihat buat kami berdasarkan sejarahnya,” kata Klopp.

“Anda bermain tanpa tiga pemain di Afrika dan beberapa orang lagi, jadi kami ada kumpulan kecil untuk melepasinya tetapi mereka melakukannya dengan baik.

“Ia seperti bola sepak Jekyll dan Hyde hari ini. Ia menunjukkan betapa bagus kami boleh beraksi begitu juga sebaliknya!”

Liverpool masih ada baki satu perlawanan berbanding City selepas ini dan akan mendapat kembali khidmat Salah dan Mane tepat pada masanya bagi saingan Liga Perdana dalam tempoh 18 hari.

Klopp percaya perjalanan Liverpool masih jauh bagi mencari gelaran.

“Jaraknya terlalu jauh untuk kita bercakap mengenainya tetapi kita tidak perlu. Kami hanya perlu menang perlawanan bola sepak,” kata pengendali dari Jerman itu.

Sumber: BERITA HARIAN