Kluster baharu catat peningkatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan peningkatan semua kategori kluster baharu kecuali membabitkan kes import dan penularan di tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkara itu amat membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan aktiviti sosial di semua peringkat serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mula dipandang ringan.

“Sejumlah 50 kluster baharu dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 47 iaitu 22 kluster (44 peratus) membabitkan tempat kerja, masing-masing enam kluster komuniti, kumpulan berisiko tinggi dan pusat pendidikan (12 peratus).

“Selain itu, dua kluter aktiviti keagamaan (empat peratus) dan satu kluster pusat tahanan (dua peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejak penularan COVID-19 di negara ini, sebanyak 5,928 kluster dikesan pihaknya dan 234 kluster masih aktif, iaitu penurunan 2.5 peratus.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kini mula dipandang ringan oleh masyarakat di negara ini.

“Ini terbukti dengan peningkatan 8.9 peratus kompaun yang dikeluarkan bagi kesalahan gagal memakai pelitup muka.

“Walaupun kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal mulai berkurang (penurunan 73.7 peratus), pemakaian pelitup muka dengan betul harus diberi penekanan.

“Ini penting bagi memastikan perebakan melalui udara dapat dikurangkan. Bagi mengelak penularan jangkitan dalam kalangan orang disayangi, disiplin tinggi setiap individu sangat diperlukan.

“Ini terutama bagi isi rumah yang mempunyai golongan berisiko tinggi seperti warga tua dan individu yang mempunyai penyakit kronik,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi ME ke-47, sebanyak 2,619,577 kes kumulatif COVID-19 dilaporkan dengan 65,978 kes aktif dan 30,280 kes kumulatif kematian.

“Trend penurunan nilai Rt ini dijangka terus memberi impak positif dalam memastikan Malaysia bergerak ke arah fasa hidup dengan virus dan seterusnya fasa endemik sekiranya semua pihak memberi sepenuh kerjasama dalam mematuhi SOP dan hadir pada temu janji suntikan dos penggalak jika sudah layak,” katanya.

“Pada ME ke-47 iaitu daripada 20 sehingga 27 November lalu, berlaku penurunan kes baharu secara kumulatif bagi minggu epidemiologi sebanyak 6.8 peratus iaitu daripada 40,600 kes (ME ke-46) kepada 37,830 kes (ME ke-47);

“Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan 12.4 peratus dengan 304 kematian berbanding 347 kematian pada ME ke-46,” katanya,

Katanya, purata kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) turut menunjukkan penurunan lima peratus iaitu 452 kes (ME ke-46) kepada 431 kes (ME ke-47);

“Kadar penggunaan fasiliti kesihatan (Katil Bukan ICU dan Katil PKRC) berkurangan pada ME ke-47. Penggunaan katil bukan ICU di hospital mencatat penurunan satu peratus manakala penggunaan katil di PKRC berkurangan tiga peratus berbanding ME ke-46.

“Peningkatan ini selari dengan kenaikan purata kes aktif bagi ME ke-47. Dari segi jumlah kemasukan pesakit COVID-19 Kategori Tiga hingga Lima di hospital awam, Sarawak mencatat penurunan konsisten dan paling ketara sejak pelancaran program pemberian dos penggalak pada 13 Oktober lalu berbanding negeri lain.

“Berdasarkan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) setakat kelmarin, Sarawak juga negeri yang mempunyai jumlah kumulatif dos penggalak tertinggi di Malaysia dengan 630,251 dos.

“Ini diikuti Selangor (411,126 dos) dan Kuala Lumpur (236,024 dos),” katanya.

SUmber: Berita Harian