‘Kluster Berulang Bermakna Syarikat Abai SOP’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Health Director General Datuk Dr Noor Hisham Abdullah speaking to media at daily update of Covid-19 development in Putrajaya, April 16th, 2020 MOHD SAHAR MISNI/The Star

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan banyak kes berulang membabitkan kluster syarikat ketika ini walaupun arahan dan peringatan sudah dikeluarkan supaya prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pekerja dalam premis diperketat.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya melihat keperluan mendesak supaya Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dipinda, khususnya bagi meningkatkan jumlah kompaun.

Ketika ini, katanya, mana-mana syarikat atau individu hanya tertakluk kepada kompaun maksimum RM1,000 dan jumlah itu langsung tidak memberi kesan kepada penerima kompaun.

“Contohnya, satu kilang sarung tangan yang mendapat keuntungan mencecah berjuta-juta. Kalau kita denda menggunakan Akta 342 sekarang, maksimum hanya RM1,000 dan tidak ada kesan.

“Kita kena lihat bagaimana untuk menaikkan kompaun berkenaan supaya ada kesan dalam syarikat terbabit.

“KKM dapati banyak kes atau kesalahan berulang atau kluster dua tiga kali berlaku di tempat atau syarikat sama.

“Ini bermakna, SOP yang sepatutnya tidak dilaksanakan dengan betul, maka ini perlunya kita tingkatkan jumlah kompaun itu,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Beliau berkata, pindaan Akta 342 kelak akan mengasingkan bentuk kompaun yang dikenakan kepada individu dan syarikat, dengan kompaun maksimum dicadangkan bagi individu adalah RM10,000 manakala syarikat RM1 juta.

“Kita cadang kompaun RM10,000, tapi tidak semestinya kita kenakan RM10,000. Contohnya kalau kita kompaun RM10,000 tapi dibayar dalam tempoh dua minggu, mungkin ada 50 peratus diskaun dan sebagainya.

“Itu akan kita bincangkan dan kesalahan akan dimaklumkan dalam peraturan-peraturan.

“Contohnya juga individu didapati melakukan kesalahan berulang, atau penilaian risiko mendapati kesalahan terbabit amat tinggi risikonya sehingga membahayakan nyawa dan sebagainya, mungkin kita akan kenakan RM10,000, selain ada mekanisme untuk rayuan mengurangkan kadar kompaun berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kuasa mengeluarkan kompaun dalam pindaan akta itu hanya diberi kepada pegawai kesihatan, namun perincian penurunan kuasa boleh diberi kepada agensi penguat kuasa lain akan ditentukan selepas pindaan diluluskan kelak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini menjelaskan, pindaan itu amat penting dari segi penguatkuasaan kerana ia turut membabitkan penurunan kuasa yang akan membenarkan bukan sahaja penguatkuasaan boleh dijalankan oleh pegawai kesihatan, tetapi juga oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, pindaaan akta itu juga membabitkan garis panduan jelas supaya tidak ada isu penyalahgunaan kuasa selain memberi penekanan ia bertujuan untuk ‘future proofing’ bagi memastikan perubahan tingkah laku dalam kalangan masyarakat.

Sumber: Berita Harian