KMI Healthcare Perluas Jaringan Hospital Ke Kota Bharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (“KMI Healthcare”), bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad semalam menandatangani perjanjian (HoA) bersama Mutiara Premier Sdn. Bhd.

(“MPSB”), anak syarikat milik penuh Pelaburan Hartanah Berhad (“PHB”) bagi pembangunan sebuah hospital swasta di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu Kelantan.

Dengan termeterainya perjanjian HoA, sebuah hospital swasta pelbagai disiplin akan di bina di Bandar Baru Tunjong oleh MPSB untuk menempatkan sebanyak 94 buah katil di atas tanah seluas 9.56 ekar dengan sekurang-kurangnya 300 buah tempat letak kereta bagi Fasa 1.

Pada peringkat seterusnya, tertakluk kepada daya maju projek, kedua-dua pihak akan membincangkan potensi pengembangan untuk penambahan 100 buah katil dan 300 tempat letak kereta bagi Fasa 2.

Kos Pembangunan Kasar (GDC) indikatif untuk pembangunan hospital itu ialah RM129 juta untuk projek Fasa 1.

Berucap di acara menandatangani perjanjian tersebut, YB Dr. Haji Alias bin Razak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu yang juga Pengarah KMI Healthcare berkata, “Perjanjian hari ini adalah antara usaha dan strategi kami untuk mengembangkan rangkaian hospital pakar Syarikat melalui strategi pembangunan hospital ‘greenfield’ dan ‘brownfield’ yang telah kami usahakan sejak tahun 2020.”

“Kami yakin, Insha Allah, momentum ini akan berterusan dan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan masa depan Syarikat, tambahan pula ia sejajar dengan strategi Asset Light kami,” tambahnya.

Seterusnya, perjanjian muktamad akan membentuk keseluruhan perjanjian antara MPSB dan KMI Healthcare dengan terma pajakan untuk tempoh 15 tahun dengan tambahan 15 tahun lagi.

Buat masa ini terdapat lima buah hospital dibawah rangkaian KMI Healthcare iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre, sebelum ini dikenali sebagai Kuala Terengganu Specialist Hospital, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre, KMI Taman Desa Medical Centre dan KMI Tawau Medical Centre, perolehan terbaru KMI Healthcare baru-baru ini.

Pembinaan KMI Tunjong Medical Centre akan mengukuhkan lagi kedudukan KMI Healthcare sebagai penyedia hospital swasta di Jajaran Pantai Timur bersama hospital pakar sedia ada di Kuantan dan Kuala Terengganu.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM