KMI Lancar Makmal Kateterisasi Jantung Swasta Pertama di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – KMI Kuala Terengganu menjadi pusat perubatan swasta pertama di Terengganu yang menawarkan perkhidmatan rawatan jantung dengan kemudahan makmal kateterisasi jantung (Cath Lab).

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan KMI, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, kemudahan makmal yang mencecah hampir RM 4 juta tersebut menyediakan perkhidmatan mengesan masalah pembuluh darah dalam jantung dan rawatan intervensi dengan kelengkapan sinar-X berteknologi tinggi.

Menurut beliau lagi, antara yang lain ditawarkan ialah Angiografi Kononari, Angioplasti Koronari, Pemantauan Elektrofisiologi (pacemaker) dan pemasangan alat pacu jantung (ELectrophysiology Study).

“Sebelum ini, kemudahan makmal kateterisasi jantung ini hanya dimiliki hospital kerajaan sehingga menyebabkan rakyat Terengganu terpaksa menunggu lapan bulan untuk mendapatkan rawatan.

“Ia juga menyebabkan ramai penghidap penyakit jantung di negeri ini terpaksa mendapatkan rawatan jantung ke negeri-negeri lain seperti di Serdang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan pelancaran makmal kateterisasi jantung serta Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KMI Kuala Terengganu dengan USAINS Tech Services Sdn. Bhd. oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Rayney Azmi berkata, kemudahan makmal itu diharap dapat mengurangkan kesesakan rawatan pesakit jantung di hospital kerajaan.

Tambah beliau, pasukan kardiologi KMI Kuala Terengganu diterajui Dr Ahmad Suhaimi Mustafa yang memiliki kepakaran khusus dalam bidang elekrofisiologi iaitu perkhidmatan pemasangan perentak jantung dan masalah rentak jantung tidak sekata.

“Buat masa ini, kita menawarkan promosi sesi konsultasi dan saringan kesihatan jantung pada kadar masing-masing RM100 dan RM450,” katanya.