Kompaun RM1,000 Jika Buang Puntung Rokok Di Pantai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) tegas dalam menguatkuasakan undang-undang kepada pesalah yang membuang puntung rokok di kawasan awam termasuk pantai dengan kompaun sebanyak RM1,000.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Mohd Anis Hussein berkata, penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil 7(1)(e) Mencegah Kekotoran MPKB-BRI 2020.

“Orang awam sentiasa diperingatkan melalui kempen menjaga kebersihan yang dibuat MPKB-BRI di media sosial Facebook dan TikTok di samping penerangan di program rasmi pihak kami.

“Ada sesetengah kes, kami menggunakan budi bicara, namun dalam kes membuang puntung rokok di merata tempat awam seperti pantai ini sudah tidak ada nasihat sebaliknya pesalah akan terus dikenakan kompaun RM1,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurut beliau, setakat 1 Januari hingga 10 Ogos tahun ini, sebanyak lapan kes kompaun direkodkan pihak berkuasa MPKB-BRI.

“Bagi pengeluaran kompaun kes merokok di tempat larangan adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Kesihatan Daerah.

“Namun, bagi kes pembuangan putung rokok adalah di bawah bidang kuasa MPKB-BRI dan terdapat lapan kes sudah diambil tindakan pihak kami,” katanya.

Bagaimanapun ujar Mohd Anis, secara rasminya hanya Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan Pantai Kundur di sini berada di bawah selenggaraan dan tanggungjawab MPKB-BRI setakat ini.

Katanya, kedua-dua pantai itu akan diselenggarakan dari segi kebersihan dan keceriaannya melalui perlaksanaan operasi kebersihan di pantai-pantai bagi semua jenis sampah dan tidak hanya terikat kepada puntung rokok.

“Kerja-kerja kebersihan juga dilakukan pada setiap hari dan terdapat juga program gotong-royong perdana yang diadakan pada setiap tahun di bawah penyelenggaraan pihak majlis, sebagai contoh Program Gotong-royong Perdana Pantai PCB Jelajah Kelantanku Bersih, baru-baru ini,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melalui laporan khas menyiarkan keadaan pantai di negara ini yang dicemari dengan sampah puntung rokok sehingga menjejaskan alam sekitar.

– Sinar Harian