Kompleks Baharu Jabatan Kesihatan Bakal Dibina di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Sebuah kompleks baharuĀ  Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bakal dibina di Wakaf Beruas, Kuala Terengganu dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata permohonan pembinaan kompleks itu akan dibuat di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 dan jika diluluskan, projek itu akan dimulakan pada 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Beliau berkata pembinaan kompleks itu adalah bagi memastikan pengurusan perkhidmatan kesihatan lebih bersepadu dan tersusun, memandangkan pejabat-pejabat JKNT ketika ini beroperasi di pelbagai tempat.

“Lokasi ini sangat sesuai kerana ia adalah di kawasan pertumbuhan bandar baharu yang menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Antara yang ada di sini nanti ialah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), Jabatan Kimia, Jabatan Audit dan kawasan ini sangat strategik,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan pembinaan kompleks JKNT dekat Wakaf Beruas di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Cadangan bangunan Kompleks JKNT baharu itu ialah setinggi tujuh tingkat di kawasan seluas 3.12 hektar yang dilengkapi semua pejabat pentadbiran termasuk makmal kawalan mutu makanan, forensik dan vektor.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM