Komponen kren jatuh: Identiti mangsa dikenal pasti

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah mengenal pasti identiti tiga warga China yang maut dalam kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Jalan Alam Damai, di sini, hari ini.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur Nordin Pauzi, berkata, tiga pekerja tapak pembinaan itu dikenal pasti sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.

“Mayat Kunfu dan Jinboa berjaya dikeluarkan pihak bomba jam 11.30 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kerja-kerja bagi mengeluarkan mayat Tong Zheng yang terhimpit di antara struktur besi masih dijalankan.

“Seorang warga tempatan yang turut parah dalam kejadian itu pula dikenal pasti sebagai Low Zy Jing berusia 33 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lima buruh asing dan seorang warga tempatan dilaporkan terbabit dalam kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya.

Dua buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang maut kerana tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat.

Pemandu kereta yang ditimpa gantri itu cedera pada leher dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

Sumber: My Metro