KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan mewajibkan pemakaian gelang merah jambu kepada semua kontak rapat kepada pesakit yang sah dijangkiti virus Covid-19.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, pemakaian itu melibatkan semua individu yang tinggal serumah dengan mereka yang sah terkena jangkitan tersebut.
“Tindakan ini diambil selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang bermesyuarat pada Sabtu bersetuju untuk melaksanakan peraturan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, ia susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, pemakaian gelang merah jambu diwajibkan selama 14 hari bermula dari tarikh akhir pengesahan kepada kes berkenaan.
Dr Zaini berkata, ia akan terus dikenakan dengan segera tanpa menunggu pengambilan sampel Covid-19 selaras Seksyen 15 (A), Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021).
Katanya, langkah itu bertujuan untuk menyekat segera pergerakan individu setelah mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat kes sah.
“Pemotongan gelang akan dilakukan pada hari ke-14 dari tempoh akhir pendedahan kepada kes sah.
“Sepanjang tempoh berkenaan individu yang memakai gelang merah jambu itu diingatkan supaya sentiasa memeriksa tahap kesihatan mereka jika terdapat sebarang simptom Covid-19,” katanya.
Menurutnya, pemakai gelang merah jambu turut diingatkan supaya mendapatkan rawatan segera jika mempunyai gejala jangkitan.
SUMBER: Sinar Harian