PHNOM PENH – Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran 33 pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 hari ini sebelum temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirainya pada Jumaat.
Emas yang ditunggu-tunggu itu disumbangkan gandingan mantap Chee Chaoming- Brady Chin menerusi acara pingpong beregu lelaki (kelas 9- masalah keseimbangan ringan) selepas menundukkan pasangan Filipina Linard Combras dan Benedicto Hernandez di Dewan Pingpong, Stadium Nasional Morodok Techo di sini hari ini.
Mereka cemerlang mencatatkan kemenangan 11-8, 11-7 dan 11-8 pada aksi final untuk memenangi pingat emas itu.
Terdahulu, emas ke-32 disumbangkan atlet olahraga Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi menerusi acara 400 meter lelaki (T20- kecacatan intelektual).
Majlis Paralimpik Malaysia sebelum ini menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada penampilan di Kemboja.
– BERNAMA