Kontraktor dikompaun RM4,000 langgar SOP PKP

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Pekan: Kontraktor dikompaun RM4,000 kerana mengadakan majlis Aidilfitri sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, pihak polis menerima aduan awam berhubung video tular aktiviti kunjung-mengunjung sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Dalam video yang tular itu, beberapa orang yang berada di kediaman lelaki terbabit sedang makan sambil bersembang.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan dan menghubungi lelaki itu untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, lelaki berusia 45 tahun itu mengaku kesalahannya dan dikompaun RM4,000 mengikut Peraturan 16 PU (A) 225/2021 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342).

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PKP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Sumber: My Metro