Koperal Polis Dituduh Seludup Pendatang Asing

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan berhubung penyeludupan 29 migran warga Myanmar pada 16 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menjalankan penyeludupan migran iaitu tujuh lelaki dan enam wanita warga Myanmar.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah van di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Tunjong jam 1.30 pagi pada 16 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan migran iaitu 15 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah rumah inap desa di Jalan Pintu Geng, di sini, jam 9.45 pagi pada 16 Januari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 26B (d) Akta Atipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang mana ianya kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Kesalahan itu memperuntukan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mac sebagai tarikh deposisi iaitu keterangan migran.

Sumber : BERITA HARIAN