Kos Sara Hidup Tinggi, Gaji Rm2,500 Sebulan Bantu Lepasan TVET Bernafas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Usaha kerajaan memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membolehkan lulusan bidang itu memperoleh gaji sekurang-kurangnya RM2,500 ke RM3,000 tepat pada masanya berikutan kos sara hidup yang tinggi.

Penuntut Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kemaman, Terengganu Muhammad Amir Bubriz Hairul Anuar, 23, berkata gaji RM2,500 ke RM3,000 itu amat wajar berbanding RM1,500 ke RM1,800 yang diterima beberapa “senior” dikenalinya yang telah tamat pengajian.

“Kos sara hidup sekarang sudah semakin tinggi, terutamanya jika bekerja di negeri orang. Perlu menyewa bilik, kos berulang-alik ke tempat kerja, kos makan dan sebagainya. Jika diberikan gaji RM2,000 ke atas, sekurang-kurangnya membantu siswazah untuk bernafas setiap bulan.

“Saya juga sebagai anak sulung, pasti berharap dapat menyumbang sedikit untuk membantu perbelanjaan keluarga selepas bekerja memandangkan dua adik lagi masih bersekolah,” katanya kepada Bernama di sini.

Pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Kejuruteraan Loji (Struktur Luar Pesisir) itu antara ribuan pelajar TVET yang menghadiri program santai bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Program Temu Anwar di KKTM di sini semalam.

Perdana Menteri pada program itu memaklumkan kerajaan menyasarkan gaji lulusan TVET antara RM2,500 ke RM3,000, iaitu lebih baik daripada sekarang, yang boleh dicapai menerusi pemerkasaan program pendidikan dalam bidang berkenaan.

Bagi pelajar semester satu jurusan Diploma Kejuruteraan Pembuatan Automatif di KKTM Kuantan, Muhammad Ahza Sahil Muttadin, 18, berkata pemerkasaan bidang TVET dapat menambah keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mengikuti jurusan berkaitan TVET.

Setiap individu juga, menurut anak jati Kemaman, Terengganu itu mempunyai kelebihan dan minat berbeza, dengan ada yang lebih berminat dalam bidang berasaskan kemahiran berbanding akademik.

“Jika pendidikan TVET diperkasakan, ia boleh menjadi situasi menang-menang untuk semua. Syarikat dapat pekerja lebih berkemahiran kerana tentu mereka mahu pastikan gaji yang hendak dibayar setimpal dengan apa yang boleh ditawarkan pekerja,” katanya.

Muhammad Ahza Sahil berkata lepasan TVET juga merupakan tenaga kerja mahir yang turut sama menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara dalam bidang mereka sendiri.

— BERNAMA