Kosongkan tangki septik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Lakukan secara berjadual untuk elak pencemaran, penyakit bawaan air

Tangki septik yang tidak diselenggara dan dikosongkan menjadi salah satu faktor utama kepada punca pencemaran sumber air khususnya sungai dan perairan.

Sistem pembetungan jenis tangki septik individu merupakan sebuah tangki mendapan bagi menakung air sisa daripada aktiviti di rumah seperti air mandi, basuhan baju, tandas dan cucian pinggan mangkuk yang dialirkan masuk ke dalam tangki tersebut.

Setiap tangki septik memerlukan penyelenggaraan berterusan dan pengosongan secara berjadual amat penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar tepelihara.

Kerja-kerja nyahenap cemar juga mampu menghindarkan masyarakat umum daripada terdedah kepada penyakit bawaan air seperti taun, hepatitis dan sebagainya.

 Pada masa sama, sumber air yang tidak tercemar dengan air kumbahan akan meningkatkan kualiti air sungai sebagai sumber air mentah, sekali gus dapat mengurangkan kos rawatan air bersih.

Di Malaysia, terdapat kira-kira 1.35 juta buah tangki septik di seluruh negara dan kebanyakannya digunakan di premis-premis yang terletak di pinggiran bandar, pekan kecil atau premis dan rumah yang telah berusia lebih daripada 25 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Narendran Maniam, daripada jumlah tangki septik tersebut, kurang daripada 10% pemilik atau penggunanya yang melakukan pengosongan secara berjadual.

“Jumlah ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana kita tidak mahu pencemaran daripada air kumbahan terusan berlaku kepada sumber air negara.

“Malangnya, ramai pengguna yang tidak sedar akan kepentingan mengosongkan tangki septik kerana mungkin merasakan ia bukan tanggungjawab mereka,” jelasnya sambil memberitahu, kerja-kerja nyahenap cemar dari tangki septik ini sebaik-baiknya perlu dilakukan apabila tangki hampir penuh atau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 2 tahun.

Menyedari hakikat ini, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air baru-baru ini telah menwartakan sebuah peraturan baru yang dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 yang menumpukan kepada keperluan pengosongan tangki septik secara berjadual di seluruh negara.

Warta Kerajaan Persekutuan ini telah berkuatkuasa Mac lalu dan menetapkan bahawa pemilik atau penghuni mestilah bertanggungjawab memastikan tangki septik mereka berada dalam keadaan baik.

Melalui warta ini, IWK sebagai syarikat pembetungan nasional, akan menguruskan penjadualan nyahenap cemar ke atas premis-premis yang bersambung dengan tangki septik dengan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengguna.

Menurut Narendran, notis pemberitahuan ini bertujuan untuk menjadualkan tarikh perkhidmatan nyahenap cemar yang akan dilakukan IWK dan akan dikeluarkan sebanyak dua kali sebagai peringatan.

“Melalui warta ini, IWK dikehendaki memaklumkan kepada pihak kawalselia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) jika pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni mana-mana premis gagal memberikan akses kepada IWK untuk menyebabkan tangki septik itu dinyahenap cemar selepas notis bertulis kedua dikeluarkan,” jelasnya.

Tambah beliau, IWK mula membuat penghantaran notis penjadualan nyahenap cemar sejak bulan lepas secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Di samping membuat penjadualan bagi perkhidmatan ini, Narendran berkata, pemilik tangki septik juga boleh meminta perkhidmatan IWK secara responsif, terutama apabila tangki septik mereka memerlukan pengosongan lebih cepat daripada tarikh yang telah dijadualkan.

“Sebenarnya tangki septik ini bukanlah seperti loji rawatan kumbahan yang mempunyai peralatan mekanikal.

“Tangki septik bertindak sebagai tangki mendapan dan apabila air sisa kumbahan masuk ke dalamnya, ia akan pecah menjadi partikel kecil dan mendap di dasar tangki.

“Jadi, apabila tangki septik tidak dikosongkan, partikel yang masuk setiap hari akan bertambah dan akhirnya memenuhi ruang di dalam tangki. Jika perkara ini berterusan, partikel-partikel ini akan mengeras seperti batu.

“Apabila ini berlaku, tiada lagi proses rawatan di dalam tangki septik berkenaan, sebaliknya air sisa yang baharu hanya akan melalui ruang tangki dan mungkin akan terus melimpahi longkang, perairan dan alam sekitar,” jelas Narendran lagi. 

Menurut warta berkenaan, mana-mana pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni premis yang tidak mematuhi arahan notis bertulis kedua daripada IWK telah melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50,000.

Sila layari www.iwk.com.my untuk keterangan lanjut.