KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merekodkan rampasan bernilai lebih RM1.7 juta membabitkan 88 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak Januari sehingga kini.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kelantan Aswadi Jaafar berkata rampasan menerusi operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain itu melibatkan barangan seperti gula, tepung gandum dan minyak masak.
“KPDNHEP Kelantan turut berjaya membuat 26 tangkapan dan 38 kenderaan disita hasil daripada aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan di sempadan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aswadi berkata pihaknya juga berjaya mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan petrol dan diesel dari dibawa keluar ke negara jiran dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM72,146.50 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan di sempadan negara akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang penyeludupan barang kawalan ke negara jiran.
“KPDNHEP Kelantan akan sentiasa memastikan pengguna dapat menikmati harga yang ditawarkan dan peniaga mematuhi perundangan yang ditetapkan serta bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.
Sumber : BERNAMA