KPDNHEP pastikan peniaga patuh, jual kit RTK ikut harga siling

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memeriksa 204 premis perniagaan di seluruh negeri itu yang menjual Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19.

Pengarahnya Adnan Abd Rahman berkata, sehingga semalam tidak ada peniaga dan pengusaha farmasi yang didapati menjual kit ujian kendiri itu pada harga tidak munasabah.

Katanya, golongan berkenaan diberi tempoh seminggu sehingga Ahad ini untuk membuat penyelarasan supaya mengikut harga siling yang ditetapkan iaitu RM19.90 bagi harga runcit maksimum dan RM16.00 untuk harga maksimum borong.

“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya yang ditemui selepas menyertai Ops Samar bagi pemeriksaan penjualan RTK Antigen Covid-19 di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam operasi itu, KPDNHEP Kelantan mengenakan kompaun kepada sebuah premis pakaian yang tidak menyediakan mesin pengimbas suhu badan.

Adnan berkata, Ops Samar membolehkan pihaknya memantau aktiviti perniagaan menggunakan kaedah penyamaran sebagai orang awam bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pembangunan Negara (PPN).

“Sejak pandemik Covid-19, sebanyak 63 kompaun dengan nilai RM360,000 dikeluarkan membabitkan pemeriksaan ke atas 19,022 premis di seluruh negeri,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai aduan boleh menyalurkan emel kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my atau hubungi talian 1 800 886 800 atau cawangan KPDNHEP setiap daerah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Adnan Abd Rahman ketika membuat pemantauan harga jualan Set Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 yang dijual  di pasaraya KB Mall di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Adnan Abd Rahman ketika membuat pemantauan harga jualan Set Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 yang dijual di pasaraya KB Mall di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sumber: My Metro