KPLB sedia bantu percepat vaksinasi sebelum tengkujuh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Lipis: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersedia membantu mempercepatkan vaksinasi penduduk luar bandar dan pedalaman di negeri pantai timur menjelang musim tengkujuh pada awal Oktober atau November ini.

Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, oleh kerana Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) negeri lebih dekat dengan penduduk di kawasan berkenaan, sumber tenaga pengurusan serta lojistik di bawah agensi itu akan digerakkan bagi tujuan itu.

“Kemas antara agensi kerajaan yang banyak kemudahan lojistik di luar bandar seperti dewan, pusat latihan kemahiran dan tadika sesuai dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekiranya perlu untuk mempercepatkan program vaksinasi selari dengan hasrat Program Imunisasi Covid-19 (PICK),” katanya kepada media di PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, KPLB cakna dengan fenomena cuaca yang tidak menentu khususnya musim banjir dan sudah membuat persiapan awal dalam usaha mempercepatkan program vaksinasi menerusi bantuan Kemas dan agensi LKW negeri di seluruh negara.

“Di samping Kemas, kita akan menggunakan kemudahan fasiliti di bawah LKW negeri tertentu yang kerap terdedah dengan bencana banjir seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Rahman berkata, seperti yang diumumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga 11 Ogos, sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa telah menerima dos pertama dan 40.7 peratus dos kedua.

“Kerajaan akan terus memfokuskan usaha menambah baik dan menaikkan jumlah pendaftaran serta penerimaan vaksin di seluruh negara khususnya di negeri yang masih rendah peratusan pemberian vaksin,” katanya.

Sumber: My Metro