Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) meneruskan langkah menyantuni komuniti dengan mengagihkan barangan keperluan asas, khususnya bagi kumpulan sasar.
Agihan itu dilakukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek di sini, diselaraskan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, melalui usaha itu JKM juga menjadi pemudahcara untuk menyediakan barangan keperluan khusus lain seperti ubat-ubatan atau barangan bayi.
“KPWKM melalui Kembara Prihatin Negara (KPN) mengagihkan barangan asas seperti beras, gula, minyak masak dan keperluan lain. Ia bakal memanfaat kepada lebih 200 ketua isi rumah di kawasan berkenaan.
“Tidak hanya setakat itu, JKM juga menyediakan khidmat sokongan kaunseling untuk terus memastikan tanggungjawab menjaga kebajikan kumpulan sasar tidak pernah terhenti,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Dalam perkembangan berkaitan, Rina berkata, jaringan agihan bakul makanan akan diperluaskan menerusi Op Bantu, membabitkan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Sumbangan akan diselaraskan YKN dan JKM sebelum diagihkan menerusi KPN dan OP Bantu bersama Skuad Aman Wanita (AMANITA) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota RELA di peringkat daerah masing-masing.
“Sejajar konsep ‘community engagement’, KPN dan Op Bantu akan membawa perkhidmatan PDRM supaya lebih dekat dengan komuniti serta membantu masyarakat dalam usaha mengesan dan menangani gejala sosial untuk dipanjangkan kepada KPWKM bagi tindakan intervensi bersama.
“KPN@Op Bantu ini akan berada di lokasi memerlukan hasil maklumat yang diperolehi melalui pemimpin masyarakat, Talian Kasih 15999, bilik gerakan JKM dan PDRM, aduan di media sosial serta aduan diterima di balai polis atau pasukan peronda,” katanya.
Rina berkata, kerjasama strategik KPWKM dan KDN itu akan diteruskan walaupun selepas pandemik Covid-19, bagi menyantuni masyarakat serta memastikan golongan memerlukan menerima bantuan sewajarnya.
Sumber: My Metro