Kuala Terengganu: Krisis bekalan air sejak Isnin lalu dijangka selesai Rabu ini sekaligus memberi kelegaan kepada lebih 28,000 pengguna dalam Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu (SATU), Burhanuddin Helmi Mohamed @ Harun, berkata setakat ini kerja pembaikian paip utama di dasar Sungai Terengganu sudah selesai 70 peratus.
Katanya, sebaik kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter itu dibaiki sepenuhnya, SATU akan memulakan ujian saliran air dengan tekanan rendah untuk mengesan sekiranya masih terdapat kebocoran lain.
“Bagaimanapun, proses untuk mengisi ke dalam tangki memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk air memenuhi tangki.
“Bagi penduduk berhampiran loji utama mungkin mendapat bekalan air lebih awal secara berperingkat,” katanya ketika mengiringi Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (kanan) meninjau lokasi kejadian di perairan Sungai Terengganu berhampiran Kampung Losing Feri, di sini, hari ini.
Menurut Burhanuddin, kerja pembaikan di dasar sungai dengan kedalaman air 18 meter itu dilakukan 10 penyelam tempatan yang memiliki kepakaran.
Bagaimanapun beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan dan persekitaran semasa yang boleh mengganggu kelancaran kerja pembaikan.
“Tahap penglihatan terhad berikutan air keruh dan arus di dasar sungai deras memerlukan tugas itu dilakukan lebih berhati-hati.
Kebocoran paip itu menyebabkan 35 kampung terjejas.
Sumber: My Metro