Krisis Ayam: Peniaga Kedai Makan, Restoran Terpaksa Naikkan Harga Jualan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Bekalan ayam yang tidak cukup menyebabkan peniaga kedai makan di sekitar bandar ini resah apabila mereka tidak dapat memenuhi tempahan dipesan pelanggan.

Situasi itu turut mendorong peniaga kedai makan dan restoran terpaksa menaikkan harga jualan antara 50 sen hingga RM1.

Peniaga, Rosnani Zamri, 29, berkata, disebabkan masalah itu, dia juga terpaksa mengurangkan kuantiti jualan sejak beberapa hari yang lalu.

Katanya, jika sebelum ini, dia dapat menjual nasi khoumok sebanyak 800 bungkus sehari, namun, sejak beberapa hari lalu hanya dapat menjual sekitar 400 bungkus sahaja.

“Selain bekalan kurang, harga ayam juga naik dengan mendadak menyebabkan kami sebagai peniaga kedai makan terpaksa menaikkan harga jualan nasi daripada RM5 kepada RM5.50 sebungkus,” katanya yang menjual nasi khoumok di Cabang Tiga, Jalan PCB di sini.

Ibu kepada lima anak itu berharap masalah bekalan ayam dapat diselesaikan kerana ia menjejaskan pendapatan peniaga ayam dan juga pemilik kedai makan sepertinya.

Sementara itu, peniaga ayam, Zarina Abdullah, 53, berkata, bekalan ayam bermasalah sejak dahulu lagi, namun semakin kritikal sejak beberapa hari yang lalu.

Katanya, sebagai peniaga, dia cuba memenuhi keperluan pelanggan apabila tetap menjual ayam setiap hari dengan kuantiti yang ada.

“Disebabkan bekalan kurang, harga ayam meningkat. Namun, sebagai peniaga dia berharap masalah itu dapat diselesaikan dan harga ayam dapat dijual dengan lebih murah seperti sebelum ini.”

“Harga yang meningkat menyebabkan jumlah pembeli semakin berkurangan dan mungkin mereka memilih untuk membeli lauk lain seperti ikan,” jelasnya.

Sumber: HARIAN METRO