Kualiti air Tasik Chini bersih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan kualiti air Tasik Chini, Pekan sehingga kini dikategorikan sebagai bersih.

JAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia berdasarkan pemantauan yang dilakukan sejak 2005.

“Terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air Tasik Chini di lokasi yang ditetapkan dengan kekerapan pemantauan sekali sebulan di setiap stesen.

“Empat parameter utama yang diukur ialah keperluan oksigen biokimia (BOD), pepejal terampai (SS), nitrogen amonia (AN) dan besi (Fe).

“Secara umumnya data kualiti air bagi 2020 sehingga Mac lalu menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan JAS itu susulan gambar ‘terkini’ Tasik Chini yang didakwa tercemar teruk berikutan aktiviti perlombongan.

Ia menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat termasuk Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa ia gambar lama yang dirakam dua tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, parameter Fe atau besi pada 2020, purata bacaan adalah 2.54 mg/l yang menunjukkan trend menurun berbanding tahun sebelumnya 3.81mg/l.

“Namun, purata bacaan bagi tiga bulan pertama tahun ini menunjukkan trend meningkat kepada 3.6 mg/l.

“Peningkatan berlaku pada Februari lalu yang disebabkan faktor hujan lebat tetapi bacaan menurun pada Mac.

“Ujian in-situ yang dijalankan di dua lokasi di Tasik Chini semalam mendapati parameter oksigen terlarut (DO) adalah 4.2 mg/l hingga 4.7 mg/l, kekeruhan sebanyak 9.6 NTU hingga 15.8 NTU dan PH antara 6.04 hingga 6.67,” katanya.

Justeru, katanya, kualiti air di Tasik Chini adalah pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan terutama hidupan air di dalamnya.

Sumber: My Metro