Kuboid Juvenil tingkat pembiakan ikan, sekat pukat tunda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Jabatan Perikanan Pahang menempatkan 10 unit tukun tiruan konkrit jenis ‘Kuboid Juvenil’ di perairan Cherok Paloh, di sini, semalam, bagi meningkatkan pembiakan ikan dan menyekat aktiviti nelayan pukat tunda.

Jarak tukun tiruan dengan pantai kawasan terbabit kira-kira 4.5 batu nautika dan kedalaman laut lebih 15 meter dengan tukun disusun rapat menjadi kelompok.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, kajian mendapati selepas enam bulan tukun tiruan ditempatkan, pelbagai ikan, tumbuhan karang dan hidupan marin menjadikan tempat itu sebagai habitat baru.

Katanya, tukun ‘Kuboid Juvenil’ turut menjadi penghalang aktiviti nelayan pukat tunda yang sebelum ini banyak dilaporkan berlaku di perairan negeri ini.

“Peruntukan sebanyak RM325,000 disediakan untuk menyediakan 10 unit tukun itu. Kali terakhir jabatan melabuhkan tukun tiruan di perairan Cherok Paloh pada 2017 membabitkan 24 tukun jenis yang sama,” katanya.

Beliau berkata, tukun di perairan Cherok Paloh dijangka memberi faedah kepada lebih 2,058 nelayan tradisi berdaftar di Zon A terutama membabitkan 794 daerah ini.

“Kita yakin daerah ini akan terus menjadi destinasi pelancongan memancing di kawasan tukun tiruan seterusnya dapat memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha bot memancing,” katanya.

Sumber: My Metro