KUFC mahu kekal momentum kemenangan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kelantan United (KUFC) enggan dibuai dengan kejayaan tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Premier menjelang pertembungan menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Ahad ini.

Penolong Pengurus pasukan Nik Khuzaimi Nudin sebaliknya berkata kejayaan itu perlu dijadikan tonik untuk terus berada dalam kelompok tiga pasukan teratas liga.

“Kami menang dengan Negeri Sembilan, Skuad Projek FAM-MSN dan Kuching City FC kesemuanya di halaman lawan, pemain perlu berwaspada apabila bertemu TFC II pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Premier.

“KUFC bakal berdepan cabaran hebat daripada pasukan tuan rumah yang memerlukan mata bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Selepas sembilan perlawanan, KUFC ketika ini berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 16 mata selepas mencatat lima kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Nik Khuzaimi menjangkakan saingan sengit pasukan jiran itu yang memiliki beberapa pemain berkualiti selain masih kekal dengan rekod tanpa kalah.

“Mereka dibarisi pemain muda terbaik terutamanya penyerang import Jordan Mintah. Kita kena berhati-hati kerana pemain ini sudah membuktikan ketajamannya sama ada di Liga Premier atau Liga Super,” katanya.

Terengganu FC II kini tiga mata di belakang KUFC dan berada di kedudukan keenam liga.

Sumber: BERNAMA