KUFC sambar legenda bola sepak Jepun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Masashi Motoyama

Legenda bola sepak Jepun, Masashi Motoyama sah menjadi milik Kelantan United Football Club (KUFC) apabila bersetuju menyertai pasukan itu, hari ini. 

Kehadiran Motoyama, 41, ke dalam skuad Kijang Hijau itu diumum Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dalam sidang media hari ini. 

Motoyama yang juga bekas pemain kelab Kashima Antlers selama 18 tahun dijangka tiba minggu depan dan memulakan latihan pertama bersama pasukan sebaik tamat kuarantin wajib bagi perjalanan luar negara. 

Che Abdullah berkata, walaupun dianggap ‘kuda tua’ atas faktor umur pemain itu, namun KUFC berani mempertaruhkan Motoyama kerana pengalamannya yang lama dalam dunia bola sepak termasuk menjadi anggota skuad Piala Asia Jepun 2004.

“Walaupun berusia, namun kita percaya dia (Motoyama) akan menyumbang sesuatu kepada pasukan dan pemain tempatan pada musim akan datang. 

“Kehadiran Motoyama menjadikan KUFC memilik tiga pemain senior selain Mohd Badri Radzi (Piya) dan Fitri Omar dan selebihnya pemain muda berusia sekitar 25 tahun yang bakal memperkuat KUFC dalam saingan Liga Malaysia tahun depan,” katanya pada majlis menandatangani Kerjasama Strategik di antara KUFC dan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini. 

Che Abdullah berkata, kontrak sudah di emel kepada pemain kelahiran Kitakyushu, Fukuoka itu untuk ditandatangani dan dia akan mengirimkan kembali emel pada malam ini. 

“Namun secara lisannya, dia sudah mengesahkan persetujuan dan kita terima dia menyarung jersi KUFC musim depan di posisi penyerang,” katanya. Kehadiran Motoyama menjadikan dia warga ketiga jepun yang membarisi pasukan KUFC selepas pasukan itu turut menggunakan khidmat jurulatih Jepun, Akira Hagashiyama dan import muda, Yuki Tanigawa. 

Sementara itu, dalam majlis itu, syarikat minuman pribiotik,Yakult mengesahkan tajaan RM250,000 dalam bentuk kewangan dan program pembangunan bola sepak akar umbi bagi tempoh setahun dengan KUFC. 

Majlis tandatangan itu disaksikan Che Abdullah dengan kontrak ditandatangani Pengarah Eksekutif KUFC, Anas Karimi Ahmad Thani dan Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada. 

Sumber : BeritaHarian