KUIPSAS Dinaiktaraf Universiti Penuh, Dikenali Sebagai UnIPSAS

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BENTONG : Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dinaiktaraf hari ini menjadi sebuah universiti penuh yang dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pro-Canselor UnIPSAS, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap YB. Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad, di Istana Negara pada hari ini bagi menerima Sijil Pendaftaran Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebagai sebuah Universiti Penuh.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail memegang plug kad Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ketika sidang media bagi mengumumkan penarikan taraf KUIPSAS kepada universiti sebenar di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.

“Ini bermakna, bermula 1 Disember 2021 bersamaan 25 Rabiulakhir 1443 Hijrah, KUIPSAS secara rasmi dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah atau singkatannya UnIPSAS.

“Pendaftaran UnIPSAS secara rasmi ini sebagai sebuah Universiti Penuh merupakan kejayaan semua pihak di negeri Pahang Darul Makmur.

“Selepas dinobatkan sebagai Universiti Islam Pertama di Negeri Pahang dan Pantai Timur, UnIPSAS boleh memainkan peranan yang lebih luas dalam perkembangan semasa sektor Pengajian Tinggi di Malaysia melalui hala tuju yang jelas iaitu menyumbang kepada sasaran 70 peratus enrolmen pendidikan tinggi negara serta menyumbang kepada sasaran 8 peratus kadar enrolmen Sarjana dan Doktor Falsafah pada tahun 2025,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pengumuman nama baharu KUIPSAS sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UnIPSAS, Ybhg. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata peranan Institusi Diraja Pahang sangat signifikan sejak awal penubuhan Kolej Islam Pahang pada tahun 1996.

“Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah sangat mengambil berat perkembangan institusi pengajian tinggi ini dan telah dilantik sebagai Canselor KUIPSAS yang pertama pada tahun 2016.

“Kini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Canselor KUIPSAS yang kedua sejak 2019 bagi menggantikan nenda Baginda.

Tambah beliau lagi, komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang juga telah menjadikan UnIPSAS terus berkembang maju dalam semua aspek.

“Penyaluran geran tahunan oleh Kerajaan Negeri Pahang telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi yang terbaik kepada para pelajarnya.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Pahang terlibat secara langsung untuk menentukan hala tuju UnIPSAS dari semasa ke semasa melalui anak syarikatnya, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. yang memiliki UnIPSAS,” katanya.

Menurut beliau, pada masa kini UnIPSAS menawarkan 27 program pengajian pada peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana.

“Kesemua program pengajian ditawarkan dalam tiga Fakulti Pengajian iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pengurusan dan Informatik, dan Fakulti Pengajian Bahasa Dan Asasi.

“Beberapa lagi program pengajian baharu pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda akan mula ditawarkan tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata pendaftaran UnIPSAS secara rasmi pada hari ini lebih bermakna kerana UnIPSAS menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25 pada tahun ini.

“Usia 25 tahun ini sangat signifikan kerana membuktikan bahawa UnIPSAS terus kekal relevan, menerima sokongan yang baik daripada masyarakat serta berjaya menawarkan program pengajian yang menjadi permintaan dan mempunyai nilai kebolehpasaran graduan yang tinggi,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA