PUTRAJAYA – Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022, anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM 19,000.
Pertandingan yang memasuki edisi kesepuluh penganjurannya tahun ini, merupakan program utama dalam Kalendar ASEAN-COCI (Committee on Culture and lnformations).
Pertandingan yang bermula pada 1 Jun hingga 30 Jun ini melibatkan dua kategori iaitu Kategori Murid Sekolah berumur 15 tahun hingga 17 tahun yang sedang menuntut di sekolah kerajaan/swasta dan Kategori Terbuka bagi warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
Penganjuran pertandingan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan generasi muda, berkaitan pertubuhan serantau ASEAN.
Kuiz ini mengandungi 3 Tahap iaitu Tahap 1, 2 dan 3. Tiada had percubaan bagi Tahap 1 dan 2, manakala bagi tahap 3, hanya tiga percubaan dibenarkan. Hanya peserta yang melengkapkan kesemua tahap sahaja akan dipertimbang untuk pemilihan pemenang.
Senarai pemenang bagi Kategori Terbuka ditentukan berdasarkan kedudukan (ranking) peserta yang mencatat markah tertinggi di Tahap 3. Kepantasan masa menjawab juga akan diambil kira sekiranya terdapat persamaan markah antara dua atau lebih peserta. Bagi Kategori Murid Sekolah pula, 15 peserta terbaik di Tahap 3 akan bertanding dalam live quiz (final) secara dalam talian untuk menentukan senarai pemenang.
Tiga (3) pemenang utama Kategori Murid Sekolah yang berumur 15 hingga 17 tahun akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Rantau yang akan diadakan di Myanmar nanti.
Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh menyertainya secara dalam talian (online) dengan mendaftar di Aplikasi Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 di laman web Jabatan Penerangan Malaysia www.aseanquiz2022.com.my atau www.kuizasean.penerangan.gov.my.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM