Kunjung Hormat Menteri Agama Perkukuh Hubungan Negeri, Persekutuan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Kunjungan hormat Pengerusi Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad bakal memperkukuhkan lagi hubungan kerajaan Terengganu dan Persekutuan.

Ustaz Idris berkata, pihaknya sangat berbesar hati menerima kunjungan tersebut yang turut disertai agensi dan jabatan kerajaan negeri yang melibatkan Yayasan Islam, Jabatan Mufti, Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM), Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ,Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS).

“Saya ucapkan terima kasih kepada delegasi Exco yang datang bersama rombongannya dalam merapatkan hubungan antara dua pihak.

“Saya kira pertemuan ini sangat penting dalam membincangkan banyak perkara, di mana kerajaan negeri merupakan antara pihak yang kita wujudkan kerjasama dalam perkara-perkara yang membabitkan perkara berkaitan agama Islam untuk kepentingan rakyat di setiap negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) daam pertemuan di Kompleks Islam Putrajaya, semalam.

Mengulas lebih lanjut katanya, pihaknya bertanggungjawab dalam melakukan setiap penyelarasan dan mengemukakan pelbagai cadangan untuk kepentingan dan keselamatan negeri terutama dalam menghadapi pandemik, dimana setiap negeri jua akan menetapkan keputusan.

“Sebagai contoh dalam isu menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) tentang solat dan aktiviti masjid, kerajaan perlu meminta perkenan daripada Yang DiPertuan Agong sebagai pihak yang berkuasa di peringkat Wilayah Persekutuan sebelum dibawa ke negeri masing-masing untuk kelulusan di pihak penguasa agama negeri masing-masing.

“Sebab itu terdapat sebahagian yang telah dibenarkan untuk dibuka, ada setengahnya belum dibuka kerana kita hormat bidang kuasa agama kerajaan negeri. Kita memang dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam (MKI) dihadiri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Untuk kita ambil input-input berkenaan kesihatan dan juga dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dimana mereka memberikan pandangan dari sudut keselamatan dan kesihatan, daripada situ kita buat rumusan melibatkan mufti-mufti di setiap negeri dan juga beberapa ahli yang dilantik,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Nor mengharapkan agar kerjasama yang terjalin diantara dua pihak berkenaan akan dapat diperkukuhkan lagi dalam menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera.

Sumber: TRDI News