Kutip 14,800 Tan Sisa Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Sebanyak 14,800 tan sisa banjir dikutip ketika operasi pembersihan pasca banjir di sembilan daerah di Pahang sejak 22 Disember lalu.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, kutipan sisa banjir paling banyak adalah di daerah Kuantan, Temerloh dan Bentong.

Ini disebabkan kebanyakan rumah yang memiliki barangan termasuk perabot dan peralatan elektrik musnah akibat ditenggelami air.

“Kita jangkakan jumlah sisa banjir ini akan bertambah apabila semua sisa banjir dikutip di kawasan yang dilanda banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai operasi pembersihan dan kutipan sisa banjir di Kuantan, Sharudin berkata, setakat ini, pelaksanaan kerja berjalan dengan lancar.

Katanya, hanya terdapat beberapa kawasan taman perumahan yang masih belum dikutip dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Pada masa sama, SWCorp turut mendapat kerjasama baik daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemimpin setempat yang turut menyewakan lori bagi tujuan mengangkut sampah di kawasan penempatan penduduk.

“Dengan kerjasama ini ia akan memudahkan operasi pembersihan dan kawasan yang dilanda banjir bebas daripada sampah,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO