Kutipan Zakat Meningkat 10.3 Peratus Ketika Pandemik Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kutipan zakat harta meningkat sebanyak 10.3 peratus kepada RM158.2 juta pada tahun 2020 berbanding hanya RM143.4 juta pada tahun sebelumnya.
 
Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkata, jumlah pembayar zakat harta juga turut meningkat sebanyak 3.7 peratus atau 3,033 orang.
 
“Pada masa ini, peratus yang membayar zakat pendapatan di kalangan mereka yang mempunyai pendapatan tetap khususnya di kalangan kakitangan agensi kerajaan dan swasta adalah masih rendah.
 
“Justeru itu, saya menyeru kepada semua pihak agar sama-sama dapat membantu menguar-uarkan usaha yang dilakukan oleh PKZ supaya semua mereka yang mempunyai punca pendapatan agar membuat taksiran zakat masing-masing seterusnya membayar zakat melalui portal taksiran zakat yang disediakan oleh PKZ,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada Majlis Perkongsian Operasi Zakat dan Pelancaran Resit Digital Bayaran Zakat yang diadakan secara maya menerusi aplikasi zoom, di sini, hari ini.
 
Perlaksanaan resit digital merupakan inisiatif Pusat Kutipan Zakat (PKZ) apabila ramai pembayar zakat melunaskan tanggjungjawab mereka menerusi atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.
 
Beliau berkata, menerusi penggunaan resit digital ini akan dapat memperluaskan urusan umat Islam seiring kemudahan ICT secara menyeluruh meliputi urusan wakaf, agihan zakat dan lain-lain melalui satu pangkalan atau platform sahaja.
 
Dalam pada itu, katanya, zakat perniagaan juga turut diberikan tumpuan oleh PKZ dalam kempen yang dilaksanakan dan jumlah bilangan peniaga yang membayar zakat perniagaan terus meningkat meskipun PKP silih berganti sejak tahun lalu.
 
“Saya pasti prestasi yang baik ini turut disumbang oleh penambahbaikan berterusan dalam urusan kutipan zakat yang disediakan oleh PKZ,” katanya.
 
Katanya lagi, pengumpulan dana zakat adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan agihan zakat kepada asnaf terutama pada waktu pandemik COVID-19 ketika ini.

Sumber: PAHANGMEDIA