Kutipan Zakat Pahang Naik 5.9 Peratus, Hampiri Ssasaran RM170 Juta Bagi Tahun 2021

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kutipan zakat di negeri ini dilihat mampu mencapai sasaran RM170 juta dengan pembayar seramai 97,000 orang menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, YH Dato’ Haji Halidan Md Daud berkata, prestasi kutipan zakat Pahang berada di landasan baik dengan berlakunya peningkatan sebanyak 5.9 peratus atau RM5.7 juta sehingga 20 Oktober 2021.

“Jumlah pembayar zakat harta juga turut meningkat sebanyak 3,721 orang berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Sehingga 20 Oktober tahun ini juga, seramai 86,828 orang pembayar zakat telah membayar zakat dengan jumlah RM102.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu di mana seramai 83,107 telah menunaikan zakat harta dengan jumlah RM96.6 juta termasuk Badan-Badan korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan zakat perniagaan  badan-badan korporat di Hotel Grand Darulmakmur, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain.

Kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM2.15 juta diterima daripada YP Plantation Holdings Sdn Bhd (RM726,665.70), Pharmaniaga Berhad (RM650,000), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM384,968), Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM222,959) dan Agrobank (RM168, 596).

Dalam pada itu, Dato’ Haji Halidan berkata, penyumbang terbesar bagi kutipan zakat adalah daripada sektor potongan gaji iaitu sebanyak RM47.4 juta.

“Penyumbang kedua terbesar adalah daripada badan-badan korporat serta sektor perniagaan dengan sumbangan sebanyak RM22.3 juta.

“Walaupun masih dalam situasi pandemik namun kutipan zakat masih baik dan kita percaya mampu mencapai sasaran yang diletakkan, ” katanya.

Menurutnya, peningkatan amaun kutipan zakat ini akan dapat dinikmati oleh lebih ramai asnaf melalui peningkatan agihkan yang dilaksanakan oleh pihak MUIP,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA