Kyrgios Setanding Djokovic, Nadal – Medvedev

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

NEW YORK – Daniil Medvedev berkata Nick Kyrgios beraksi pada tahap yang cukup tinggi dan layak diletakkan setanding dengan kuasa besar Grand Slam seperti Novak Djokovic dan Rafael Nadal.

Medvedev yang turun sebagai juara bertahan, tersingkir di tangan Kyrgios yang mara ke suku akhir pertamanya di New York dengan kemenangan 7-6 (13/11), 3-6, 6-3, 6-2.

“Nick hari ini bermain pada tahap Novak dan Rafa. Sukar untuk melawannya. Dia mempunyai servis yang padu.

“Jika dia bermain begini sehingga akhir kejohanan, dia mempunyai peluang untuk menjuarainya,” kata Medvedev.

Medvedev bakal kehilangan kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia susulan kekalahannya itu.

Harapannya untuk menjadi pemain lelaki pertama mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas Roger Federer pada tahun 2008 juga berkecai.

Pemain Russia itu menamatkan saingan Grand Slam tahun ini sebagai naib juara di Terbuka Australia, tersingkir di peringkat 16 terakhir di Terbuka Perancis dan Amerika Syarikat.

Dia dan rakan senegaranya dilarang menyertai Wimbledon susulan serangan Russia ke atas Ukraine.

Sumber : BERITA HARIAN