MARANG – Tidak sampai 24 jam, seekor lagi penyu agar ditemukan mati terdampar di Pantai Kelulut, di sini, hari ini.
Sebelum ini, orang awam telah menemukan penyu spesis sama dalam keadaan terapung di perairan Pulau Kapas kira-kira 11 pagi semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata, penyu betina seberat 60 kilogram sepanjang hampir satu meter dengan lebar hampir 0.60 meter ditemui orang awam kira-kira 10.30 pagi tadi.
Menurutnya, penyu agar yang dipercayai berusia antara 18 hingga 20 tahun itu dipercayai mati akibat tertelan plastik.
“Hasil pemeriksaan dijalankan oleh kakitangan Cawangan Taman Laut, Pengurusan dan Perlindungan Sumber Negeri Terengganu menjumpai gumpalan plastik dalam mulut penyu itu.
“Tiada sebarang kecederaan yang jelas pada pada bangkai penyu itu. Berdasarkan keadaan penyu itu yang hampir reput dan berbau, kita percaya penyu itu sudah mati beberapa hari di laut sebelum bangkainya dihanyutkan ke pantai.
“Dengan kematian terbaharu ini, sebanyak 11 kes direkodkan dengan kejadian pertama pada 3 Januari lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ruzaidi berkata, pengunjung yang datang ke pantai peranginan tersebut dan nelayan dinasihatkan supaya tidak membuang plastik kerana ia menjadi punca utama kematian penyu.
“Pembuangan plastik ke dalam laut akan membuatkan sampah itu timbul dan menyerupai obor-obor yang menjadi makanan penyu.
“Kita turut mengadakan kempen ‘Save Our Sea’ bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak membuang sampah ke laut.
“Sampah di laut akan dibawa balik ke darat untuk dibuang atau dilupuskan di tempat yang sepatutnya demi memastikan kelestarian sumber marin,” katanya.
Pada 12 Januari lalu, seekor penyu agar betina seberat 50 kilogram telah ditemui di pantai sama disebabkan faktor sama.
Sebanyak 51 kes kematian telah direkodkan membabitkan hidupan marin itu yang direkodkan di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.
Sumber: HARIAN METRO