Lagi RM30,000 Disalur Untuk Keperluan Mangsa Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN, 16 Januari – Bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir terus berjalan termasuk sumbangan terbaharu sebanyak RM30,000 melalui inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

Menurut Ariffin, sumbangan untuk mangsa di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan Bukit Besi itu turut dicetuskan personaliti media sosial, Nurfarahin Romli atau Farah Lee dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM).

“Rombongan 50 orang ini telah mengagihkan berbentuk barangan harian, bantal dan gandum di Kampung Jongok Batu, Kampung Belimbing, Kampung Shukor dan Kampung Fikri.

“Bantuan bernilai RM30,000 merupakan sumbangan pihak DUN Alur Limbat berjaya diagihkan pasukan kami mengikut Operasi Standard Prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya selepas Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di Kampung Fikri, pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Setiausaha BPTM SUK, Zuwislan Awang.

Sementara itu, Farah Lee berkata, beliau berjaya meraih lebih RM100,000 dana banjir hasil sumbangan orang ramai di media sosial dan kesemuanya diagihkan kepada mangsa banjir di Kemaman serta Dungun.

“Sebelum memulakan projek ini, saya membuat undian idea di sosial media untuk pendapat pengikut, kebanyakan mereka sudah cukup bahan makanan tetapi keselesaan beribadah perlu ditambah baik lagi.

“Sumbangan bagi ‘#FLbanjirAID1.0’ ini sebanyak RM53,640 diagihkan dalam bentuk 1,000 kit solat (telekung, sejadah, kain pelikat, kain batik dan tuala) supaya mereka yang terkesan boleh beribadah dengan selesa.

“Kita juga agih baju muslimah sebanyak 200 helai, bantal (200), di samping tajaan lain seperti anak tudung dan barangan kebersihan diri,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri khususnya ADUN Alur Limbat, Pusat Khidmat DUN Bukit Besi dan BPTM SUK dalam membantu dari segi operasi, logistik dan tenaga kerja dalam melancarkan urusan pengagihan efektif.

“Lebihan bantuan yang diraih akan disalurkan dalam misi seterusnya,” katanya lagi.

Sumber: TRDI News