Laluan km77-km78 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak Arah Timur Dibuka Semula

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ANIH Berhad memaklumkan laluan KM77-KM78 arah timur lebuh raya tersebut yang ditutup sejak banjir tengkujuh pada pertengahan Disember lepas, telah dibuka kepada pengguna sejak 3 pagi tadi.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata laluan itu dibuka selepas kerja-kerja pembersihan serta pembaikan siap dilakukan dan mereka yang ingin ke Pekan Karak tidak lagi perlu membuat pusingan U sebelum Plaza Tol Karak.

“Pada masa ini, lorong kiri dan kanan menghala ke Kuala Lumpur dari KM66 hingga KM70 sudah dibuka sepenuhnya.

“Namun, pengguna dinasihatkan agar mematuhi papan tanda arah keselamatan apabila menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua di KM74.8 hingga KM77.3 untuk keselamatan dan keselesaan semua,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Untuk maklumat lanjut, tepat dan terkini, pengguna boleh merujuk ke laman media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik dan @LPTTrafik atau Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Lebuhraya Pantai Timur, selain talian hotline LLM 1800-88-7752 serta talian LPT 09-5479111 dan 1-700-818-700.

Sumber: BERNAMA