Langgar SOP, Riadah Bersama Punca Kluster Industri Di Kulim

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALOR SETAR: Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 ketika di tempat kerja dan aktiviti riadah, disyaki menjadi punca penularan kluster Dah Meha Industri Kulim yang menjangkiti 133 individu terdiri pekerja kilang dan ahli keluarga mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo, berkata kluster itu dikesan selepas saringan kendiri yang dijalankan oleh pihak pengurusan sebuah kilang di Mukim Padang Meha, Padang Serai, Kulim.

“Sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 194 individu telah disaring dan sebanyak 133 kes positif dikesan membabitkan 97 orang pekerja dan 36 orang kontak keluarga.

“Taburan kes positif membabitkan empat daerah iaitu Kulim, Baling, Kuala Muda dan Sik. Kesemua kes adalah bergejala ringan dan telah lengkap divaksinasi, mereka diarah menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Othman, berkata siasatan awal Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim mengesyaki penularan jangkitan berkemungkinan berpunca daripada kegagalan mematuhi prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan di tempat kerja.

Katanya, kegagalan pematuhan SOP itu disyaki antaranya seperti di surau, aktiviti rekreasi membabitkan kumpulan pekerja dan aktiviti kembara bermotosikal dan futsal.

“Bagaimanapun jabatan ini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kluster. JKN mendapati keadaan adalah terkawal dan akan terus mengawasi situasi dari dekat,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan kilang sudah diarahkan untuk mengemaskini pelaksanaan SOP di lokasi berisiko tinggi dalam kilang berkenaan.

Sehubungan itu, katanya JKN menyeru orang ramai untuk terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang telah digariskan oleh kerajaan dalam kehidupan seharian.

“Pakai pelitup muka dengan sempurna di tempat kerja dan tempat awam, patuhi penjarakan fizikal sepanjang masa dan kerap cuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan serta elakkan daripada bersentuhan dan bersembang dekat.

“Dalam masa yang sama hindari kawasan sesak dan ruang sempit, pastikan pengudaraan yang baik di tempat kerja dan rumah,” tegas beliau.

Sumber: Berita Harian