Polis Terengganu masih belum menerima sebarang laporan daripada orang awam berkaitan misteri ketukan pintu yang didakwa berlaku di sekitar Kuala Terengganu, sebagaimana tular di media sosial sejak Jumaat.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, individu yang terlibat diminta tampil membuat laporan sekiranya benar dakwaan itu.
“Polis akan hantar kereta peronda atau URV (Unit Rondaan Bermotosikal) untuk membuat rondaan. Jika ada, kita nak tahu siapa yang bertanggungjawab dan apa motifnya mereka ketuk pintu,” ujarnya.
Sejak Jumaat, tular di media sosial berkaitan misteri ketukan pintu yang didakwa berlaku di beberapa kawasan sekitar Kuala Terengganu sebagaimana yang dilaporkan berlaku di Selangor dan Johor sebelum ini.
Mengulas mengenai kaitan ia adalah salah satu taktik penjenayah, Roslee bagaimanapun berkata, mungkin ia lebih kepada tindakan nakal individu tidak bertanggungjawab yang hanya main-main atau sengaja ingin menakut-nakutkan orang ramai.
“Jika benar ia berlaku, saya melihat ia lebih kepada main-main dan nak takut-takutkan orang ramai. Tapi, perlu diingat, mereka yang melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan kerana mengundang ketakutan dan kegusaran kepada orang awam.
“Individu atau pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atau Seksyen 13(1)(c) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya. – Sinar Harian