Lapor secara rasmi jika peniaga naikkan harga air mineral

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Orang ramai dinasihatkan supaya membuat laporan secara rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya peniaga menaikkan harga tong dan air mineral, terutama di kawasan yang menghadapi gangguan bekalan air.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, terbaharu, pihaknya menerima maklumat bahawa kenaikan harga itu berlaku di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, namun tiada yang tampil membuat aduan rasmi.

“Kalau ada peniaga yang menaikkan harga air mineral atau tong air secara melampau, boleh buat laporan kepada kementerian melalui pelbagai platform seperti aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon yang kami sediakan.

“Setakat ini tidak ada laporan rasmi, hanya aduan secara verbal dan kenaikan pula di kawasan kampung, mungkin kerana bekalan air mineral yang berkurang sedangkan permintaan banyak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan 530 bakul makanan kepada penduduk kawasan Manir yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 5 Ogos lalu.

Terengganu berdepan masalah bekalan air sejak Isnin lalu berpunca daripada saluran paip pecah di dasar Sungai Terengganu yang membabitkan 28,700 akaun di dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Sumber: My Metro