Lawatan duta EU ke Xinjiang ditolak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BEIJING, 3 Syaa’ban 1442 H, Selasa : Lawatan duta Kesatuan Eropah (EU) ke wilayah Xinjiang, China didakwa ditolak disebabkan oleh permohonan untuk melawat seorang cendekiawan etnik Uighur, Ilham Tohti yang dipenjarakan, menurut sumber diplomatik hari ini.

Sejak 2019, China memaklumkan pihaknya ada menjemput diplomat asing dan ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet untuk melawat Xinjiang, di mana kumpulan hak asasi mendakwa lebih satu juta etnik Uighur dan lain-lain minoriti Islam ditahan di kem tahanan.

Seorang diplomat EU memberitahu AFP, permohonan lawatan itu ditolak kerana pihaknya mahu melawat Tohti, seorang ahli ekonomi yang dipenjara seumur hidup atas tuduhan berasingan pada 2014.

Tohti adalah penerima Hadiah Sakharov pada 2019, iaitu anugerah tertinggi hak asasi EU.

“Rundingan menemui jalan buntu kerana Tohti dan syarat lain. Saya tidak fikir mereka akan pergi dalam masa terdekat,” kata diplomat itu.

Kelmarin, duta China ke EU, Zhang Ming, berkata hampir segala-galanya sudah diatur untuk duta-duta negara anggota EU berkunjung ke Xinjiang.

Bagaimanapun, katanya terdapat masalah kecil berikutan permohonan yang tidak dapat diterima.

“Mereka berkeras mahu mengadakan pertemuan dengan seorang disabit jenayah di bawah undang-undang China. Ini tidak boleh diterima. Saya mohon maaf,” katanya.

Dengan tegas, China menyangkal dakwaan negara itu melakukan penganiayaan terhadap etnik Uighur di Xinjiang dan menjelaskan semua penghuni pusat itu sudah ‘tamat pengajian’ dari ‘pusat latihan vokasional’ yang menurut republik itu membantu membasmi ekstremisme di wilayah itu termasuk meningkatkan pendapatan.

Delegasi merangkumi tiga pegawai EU yang pernah menyertai lawatan ke Xinjiang, diatur dengan teliti pada Januari 2019.

Mereka percaya individu yang ditemui di sebuah ‘pusat latihan’ membaca ucapan yang disediakan.

Menurut Zhang, Menteri Luar China, Wang Yi, menyampaikan jemputan kepada Bachelet pada 7 Mac selepas beliau meminta dijalankan ‘penilaian bebas dan komprehensif mengenai situasi hak asasi manusia’ di Xinjiang pada hujung Februari lalu.

Beliau menegaskan bahawa Xinjiang ‘terbuka untuk diplomat asing, wartawan dan pelancong’. – AFP