Layak Ke Final ‘Harga’ Tarik Diri Sukan Komanwel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Atas kertas, cabaran getir tetap menanti pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, dalam usahanya mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia pertama menjulang Kejohanan Badminton Dunia yang dijadual berlangsung di Tokyo dari 22 hingga 28 Ogos ini.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim, berkata pengorbanan Zii Jia menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022 Birmingham dengan alasan mahu menumpukan sepenuhnya terhadap kejohanan berprestij itu dianggap berbaloi sekiranya layak ke final di Jepun itu.

“Hanya Zii Jia yang tahu mengapa beliau tarik diri di Sukan Komanwel baru-baru ini, walau apa pun terjadi beliau perlu menunjukkan hasil di Jepun, secara peribadi masuk final dikira okay,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Biarpun juara All England 2021 itu dikritik kerana tidak menyertai Sukan Komanwel di Birmingham, Roslin berkata perkara sedemikian sukar dielakkan kerana percaya Zii Jia tetap berdepan kritikan waima bergelar juara Kejohanan Dunia sekalipun selepas ini.

Ditanya mengenai siapa pencabar yang mampu menggugat Zii Jia di Jepun, Roslin berkata seteru utama pemain profesional itu adalah dirinya sendiri dalam usaha membuktikan beliau mampu mencatat kejayaan membanggakan pada kejohanan berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu.

Justeru, Roslin berharap agar pemain nombor lima dunia itu tetap menjalani latihan rapi dan bersedia 100 peratus khususnya dari aspek psikologi bagi berentap dengan barisan pemain ternama lain di sana nanti.

“Bukan sahaja Zii Jia, malah kebanyakan pemain utama lain pun berdepan musuh sama iaitu diri mereka sendiri. Zii Jia serta yang lain banyak pengalaman dan telah lalui pelbagai tekanan bermain di peringkat tertinggi sebelum ini, jadi semuanya bergantung kepada diri mereka sendiri untuk tangani masalah sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pemain negara, Datuk James Selvaraj optimis Zii Jia mempunyai peluang cerah untuk menyerlah berbanding pemain Malaysia lain iaitu Liew Daren dan Ng Tze Yong pada kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, James mengakui beliau ternanti-nanti corak persembahan Zii Jia di Jepun memandangkan pemain tersebut sanggup melepaskan peluang keemasan di Sukan Komanwel tempoh hari.

“I hanya harap Zii Jia bersedia dan melakukan yang terbaik…bukan apa beliau sememangya berpeluang tinggi raih kejuaraan di Sukan Komanwel namun mengambil keputusan menarik diri kerana mahu tumpukan aksi di Jepun,” katanya.

Zii Jia, selaku pemain pilihan kelima kejohanan, dijadual bertemu pemain bukan pilihan Perancis, Brice Leverdez, pada pusingan pertama.

Dalam pada itu, tugas berat menanti Daren kerana diundi menentang pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark manakala Tze Yong pula akan membuat perhitungan bersama juara Malaysia Masters 2022, Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia.

Sumber : BERITA HARIAN