Lebih 14,000 individu terima vaksin Covid-19 di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Foto hiasan

Lebih 14,000 individu di Kelantan menerima suntikan vaksin COVID-19 fasa pertama sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata kesemua individu berkenaan terdiri daripada pasukan barisan hadapan.

Katanya, sehingga kini proses suntikan masih membabitkan pasukan barisan hadapan.

“Khamis lalu lebih 9,000 dos vaksin tambahan tiba di Kelantan dan kita akan terima lagi vaksin berkenaan secara berperingkat.

“Kita berharap proses suntikan berjalan lancar di 39 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan akan menerima 43,290 dos vaksin secara berperingkat sepanjang Mac ini termasuk 18,720 dos vaksin sudah diterima untuk penghantaran pertama.

Selasa minggu lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengetuai suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada majlis pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kelantan, di Dewan Teratai, Kota Darulnaim.

Ahmad antara 48 individu, termasuk Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, EXCO dan petugas barisan hadapan yang menerima suntikan dos pertama vaksin itu.

SUMBER : Berita Harian