PASIR PUTEH – Lebih 20,000 biji telur jadi rebutan pengguna sepanjang dua hari Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) berlangsung di Bandar Baharu Pasir Puteh di sini pada Sabtu.
Pengurus Perniagaan ABC, Nurul Asmat Abu Bakar berkata, permintaan luar biasa itu dapat dilihat apabila telur habis dijual sebelum tengah hari sekali gus menyaksikan sumber protein itu menjadi belian wajib kesemua pengunjung yang hadir selain minyak masak peket.
“Program jualan yang bermula jam 8.30 pagi ini menawarkan telur gred A berharga RM12.80 sepapan, gred B (RM12) dan gred C (RM11.50) lebih murah dari harga kawalan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu seorang pengunjung, Ismail Abdullah, 62, dari Kampung Saring berkata, sudah beberapa kali dia menangguhkan pembelian telur kerana harga yang mahal dan sukar untuk mendapatkannya.
Menurutnya, sejurus mendapat tahu ada PJKM, dia bersama isteri datang untuk membeli telur dan keperluan dapur yang lain.
“Harga yang ditawarkan murah dan mereka tidak perlu menunggu masa yang lama kerana stok bekalan telur ada.
“Saya berharap PJKM diteruskan setiap bulan kerana inilah peluang untuk kami mendapatkan barangan dapur dengan harga murah dan mudah,” katanya.
Wan Noraini Wan Mat, 56, dari Tok Bali berkata, sudah beberapa minggu bekalan telur sukar diperoleh sehingga dia terpaksa melupakan menu tersebut di dalam hidangan harian.
“Sebelum ini telur jadi penyelamat ketika dompet ‘kempis’, namun sekarang bukan sahaja harganya mahal, malah sukar untuk diperoleh,” katanya.
Dia berkara, PJKM dinanti-nantikan oleh golongan berpendapatan rendah kerana harga yang ditawarkan murah selain mudah dibeli.
“Sayur di PJKM kami dapat beli dengan harga 50 sen seikat, malah semua yang kami rasa sukar hendak dapatkan seperti telur dan minyak masak peket pun ada.
“Diharap sangat PJKM tidak dihapuskan dan diteruskan setiap masa untuk meringankan beban kami yang tergolong dalam B40,” katanya.
Sumber: AWANI