Junta tentera Myanmar memerintahkan pembebasan lebih 23,000 tahanan pada hari ini.
Tindakan itu selepas penahanan baharu yang menyasarkan terhadap sekutu pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dan beberapa pegawai pilihan raya.
“Majlis Pentadbiran Negeri telah membatalkan hukuman dikenakan terhadap 23,314 tahanan dari penjara dan kem masing-masing,” jelas pengumuman itu.
Pengumuman itu disiarkan menerusi akhbar Global New Light of Myanmar yang dikendalikan oleh negara, dengan menggunakan nama rasmi pentadbiran tentera baharu.
Pengampunan besar-besaran untuk mengosongkan penjara yang penuh sesak di negara ini biasanya dilakukan pada hari-hari yang penting dan Jumaat merupakan cuti umum di Myanmar.
Satu notis berasingan memaklumkan bahawa sebanyak 55 tahanan asing lain juga akan dibebaskan.
Kedua-dua perintah itu ditandatangani oleh Ketua tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing.
Bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak memperincikan maklumat lanjut berkaitan tahanan yang dibebaskan.
Suu Kyi dan beberapa pemimpin politik kanan ditahan dalam satu serbuan pada 1 Februari lalu berikutan dakwaan tentera bahawa berlaku penipuan dalam pilihan raya November lalu yang dimenangi oleh parti NLD. – AFP