Lebih 235,000 penduduk Pahang layak terima vaksin belum daftar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Lebih 235,000 atau 20 peratus penduduk Pahang yang masih belum mendaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 walaupun layak untuk menerimanya, dinasihatkan mendaftar segera bagi membolehkan negeri ini mencapai imuniti kelompok lebih pantas.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, suntikan vaksin adalah salah satu ikhtiar bagi mengawal Covid-19 dan sehingga hari ini lebih 50 peratus golongan dewasa di Pahang sudah menerima dua dos vaksin.

“Pahang hari ini merekodkan sebanyak 839 kes baharu, angka yang agak tinggi, namun jika kita lihat trend kumulatif mingguan dan purata seminggu kes harian, kita dapati ada menunjukkan penurunan.

“Trend penurunan ini pertama kali dilihat dalam tempoh sembilan minggu dan berlaku seiring dengan peningkatan liputan vaksinasi di Pahang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

Pahang sebelum ini menyasarkan kira-kira 80 peratus penduduknya menerima vaksin lengkap pada penghujung Oktober iaitu sebelum musim tengkujuh bermula.

Sumber: My Metro