Lebih 250,000 ruang solat Tarawih disediakan di Singapura

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Lebih 252,000 ruang solat disediakan di kepada umat Islam di seluruh Singapura untuk menunaikan solat Tarawih – Foto Hiasan

SINGAPURA, 6 Sya’ban 1442 H, Ahad: Kira-kira 252,000 ruang solat disediakan di kepada umat Islam di seluruh Singapura untuk menunaikan solat Tarawih, tahun ini.

Bagaimanapun, amalan berbuka puasa beramai-ramai di masjid, mengerjakan solat Tarawih di celah blok kediaman atau ruang terbuka yang lain dan bersahur di masjid tidak dibenarkan tahun ini.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menegaskan larangan itu selaras dengan langkah pengurusan selamat dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19.

Ketua Eksekutif MUIS, Esa Masood berkata, jemaah perlu menempah ruang solat seperti yang dilakukan sekarang bagi solat Jumaat dan solat lima waktu.

“Bagi solat Tarawih, jemaah perlu menempah ruang seperti dilakukan sekarang bagi solat Jumaat dan solat lima waktu,” katanya, Rabu lalu seperti dilaporkan BERITAmediacorp.sg.

Pengarah Kanan Masjid MUIS, Mohd Helmy Isa pula berkata, masyarakat boleh menempah ruang untuk solat Isyak di masjid dan seterusnya Tarawih di masjid sama.

“Umat Islam hanya boleh menempah ruang solat Tarawih sekali saja bagi setiap tempoh ditetapkan dan setiap sesi solat Tarawih dihadkan kepada satu jam saja.

“Setiap tempoh Tarawih adalah untuk 10 hari dalam Ramadan dan sekitar 84,000 ruang solat ditawarkan secara keseluruhannya bagi jemaah lelaki dan wanita,” katanya.

Mohd Helmy berkata, pada 10 hari terakhir Ramadan pula, dua tempoh tempahan akan disediakan untuk umat Islam melakukan qiamullail dengan 25,000 ruang disediakan bagi setiap tempoh.

Katanya, peraturan itu akan memastikan setiap jemaah mematuhi langkah pengurusan selamat termasuk mendaftarkan diri menggunakan TraceTogether, mengamalkan penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri.

Beliau berkata, ruang solat turut disediakan bagi jemaah wanita bagaimanapun, hanya disediakan di masjid tertentu saja.

Sementara itu, Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir menasihatkan umat Islam terus bersabar dan mematuhi langkah pengurusan selamat mengharungi COVID-19.

Katanya, ia bertujuan Ramadan kali ini akan membawa lebih banyak kebaikan bukan saja untuk diri sendiri tetapi kepada masyarakat. – AGENSI