KUALA LUMPUR – Seramai 28,287 mangsa bencana banjir telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sehingga 12 tengah hari tadi.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ciapan ringkas di twitternya hari ini.
“Bagi mereka yang masih belum mendaftar atau menerima manfaat ini, boleh segera menghubungi Pegawai Daerah anda untuk bantuan segera oleh kerajaan,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia antaranya meliputi BWI sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini.
Bayaran bantuan berkenaan disalurkan sejak 27 Dis lepas, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir agak luar biasa yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.
Dalam perutusan Tahun Baharu 2022 sebelum ini, Ismail Sabri berkata bantuan itu akan memanfaatkan lebih 45,000 ketua isi rumah.
Menurutnya angka yang akan menerima bantuan itu boleh bertambah apabila kerajaan selesai mengenal pasti mangsa yang terkesan tetapi tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Sumber: BERNAMA