Lebih 3,500 Buah Rumah Di Temerloh Terlibat Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Temerloh antara daerah yang paling terjejas akibat banjir di Negeri Pahang dengan lebih 3,500 buah rumah terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin yang juga Ahli Dewan Negeri Lanchang berkata, kawasan Lanchang, Mentakab dan Kuala Semantan antara kawasan paling teruk menerima kesan banjir kali ini.

Beliau yang juga Penyelaras BN Parlimen Temerloh juga sangat terharu melihat semangat dan kerjasama Keluarga Malaysia membantu setiap mangsa terlibat dan bersatu di bawah semangat slogan ‘rakyat jaga rakyat’.

“Tidak ada perbezaan warna kulit, agama ataupun kaum, sebaliknya saya lihat semangat Malaysia sejati ketika berdepan situasi bencana ini yang menjadikan kita satu keluarga besar Malaysia.

“Di Temerloh, ramai rakyat Malaysia turun padang, malah ada yang datang sendirian tanpa mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak berkuasa untuk menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di daerah ini.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah juga berkenan bercemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir.

“Turut sama berkenan bercemar duli Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Katanya, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk datang membantu mangsa banjir yang terjejas teruk di daerah ini.

Beliau dalam masa yang sama ingin memohon maaf kepada rakyat khususnya di Temerloh jika ada kekurangan atau kelewatan daripada segi bantuan sama ada ketika banjir atau pasca banjir.

Sumber: PAHANGMEDIA