Lebih 500 Anggota APM Pahang Siap Siaga Hadapi Bencana

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang diletakkan dalam mod siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang dijangka berlaku di beberapa bahagian perairan negara sehingga 25 Jan.

Pengarah APM Negeri, Kolonel Che Adam A Rahman berkata, seramai 500 anggota dan sukarelawan di semua 11 daerah di seluruh negeri telah diarah bersedia jika berlaku banjir kilat atau lain-lain kecemasan.

Malah katanya, anggota APM sepenuh masa tidak dibenarkan bercuti panjang kecuali berlaku kecemasan sahaja.

“Bendera merah telah dinaikkan di semua pantai popular di negeri ini untuk memberi amaran kepada pengunjung pantai dan mereka yang terlibat dalam sukan laut tentang potensi gelombang kuat.

“Memandangkan perayaan (Tahun Baharu Cina) dan cuti sekolah, mungkin terdapat peningkatan pengunjung di pantai.

“Pasukan penyelamat ditempatkan di pantai-pantai di sini termasuk Teluk Chempedak, Sepat dan Pulau Tioman, dan kami berharap pengunjung di pantai itu akan mematuhi arahan APM untuk tidak memasuki air berikutan keadaan laut yang bergelora,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran kategori pertama angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Keadaan ini semestinya akan memberi ancaman kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Malah, pada 19 Jan lalu, MetMalaysia juga telah mengeluarkan amaran hujan berterusan di Johor dan negeri pantai timur Pahang, Kelantan dan Terengganu sehingga 22 Jan.

Justeru itu, Che Adam menasihatkan penggemar aktiviti luar supaya lebih berwaspada ketika melawat kawasan rekreasi atau mendaki kerana musim hujan boleh mendedahkan orang ramai kepada bahaya termasuk tersesat di dalam hutan atau dilanda fenomena ‘kepala air’.

“Jangan sesekali ambil mudah semasa melakukan perjalanan luar dan sentiasa peka dengan perubahan corak cuaca. Sekiranya hujan lebat atau awan gelap, sebaiknya segera meninggalkan kawasan itu.

“Mereka yang tinggal di kawasan rendah berhampiran laut atau sungai dinasihatkan supaya peka dengan fenomena air pasang besar. Sukar untuk meramalkan bila kejadian banjir akan berlaku, jadi lebih baik bersiap sedia sepanjang masa semasa cuaca tidak menentu,” tambahnya lagi.

Sumber : AWANI